Baju Kurung – Baju Untuk Kaum Melayu Perempuan

Apa itu Baju Kurung?
Baju kurung ialah sejenis pakaian tradisional orang Melayu yang dipakai oleh kaum wanita masyarakat itu dan dipercayai telah mendapat pengaruh daripada pakaian pedagang Arab dan India serta China pada zaman dahulu.Pakaian ini juga merupakan pakaian kebangsaan dan rasmi bagi negara Malaysia dan Brunei.Disamping itu, ia juga masih boleh didapati di negara nusantara yang lain seperti Indonesia, Singapura dan Thailand.Baju ini sesuai dipakai oleh semua lapisan masyarakat tidak mengira agama, kaum mahupun bangsa.

Selain itu, Baju Kurung juga dikenali sebagai baju yang longgar, labuh, kadang kalanya labuh hingga ke lutut, bertangan panjang, berpesak, berkekek serta kembang dibahagian bawah.Namun begitu, baju ini sentiasa menjadi pilihan wanita Melayu dan juga bangsa lain sebagai pakaian harian mahupun pakaian ke majlis-majlis seperti kenduri kahwin, majlis rasmi dan majlis agama.Tambahan lagi, busana ini menampilkan ciri-ciri keayuan dan kesopanan kepada pemakainya serta menambahkan lagi kelembutan gerak geri seorang gadis Timur dan keunggulan budaya Melayu yang berpadanan dengan personaliti Melayu sejati.Antara ciri yang istimewa atau unik tentang baju kurung termasuklah jahitan tangan yang dinamakan sembat yang dijahit pada bahagian kelim dan kelepet. Bahagian leher baju ini pula dijahit dengan jahitan tulang belut yang diilhamkan daripada struktur tulang ikan belut.

Baju Muslimah

Pelbagai Jenis Baju Kurung Yang Ada
Tambahan lagi, terdapat pelbagai jenis baju kurung yang boleh kita dapati kini. Antaranya ialah Baju Kurung Teluk Belanga, Baju Kurung kedah, Baju Kurung Pahang dan lain-lain.Secara umumya, kesemua jenis baju kurung mempunyai ciri-ciri persamaan namun masih terdapat beberapa perbezaan yang ketara baik dari segi pola, potongan dan cara pemakaiannya.Sebagai contoh, Baju Kurung Pahang atau dikenali juga sebagai Baju Kurung Riau Pahang berbeza dari segi pesak baju kurung, kedua-dua bahagian tepi Baju Kurung Riau Pahang berpesak kembang yang disambungkan kekek gantung manakala Baju Kurung Teluk Belanga tergambarlah kepada kita pakaian yang labuh besar dan menyelubungi seluruh badan dan potongannya longgar kerana dirusuknya berpesak dan di bawah lengannya pula diletakkan kekek. Potongan lehernya bulat dan berbelah di depan. Pada sekeliling tebukan lubang leher itu, jahitan tulang belut digunakan bagi mengemas dan memperkukuhkan lagi leher baju tersebut.

Seterusnya, Baju Kurung juga turut dihiasi dengan sulaman kerawang, manik mahupun labuci bagi menambahkan lagi keseriannya.Bahan dan material yang lazimnya digunakan untuk membuat Baju Kurung adalah satin, chiffon, organza, sutera, batik, linen dan sebagainya.Pakaian ini kadang kala di perbuat dari sutera yang diimport dari Jepun, Korea Selatan, Turki, India atau dari negeri di Malaysia seperti Kelantan dan Terengganu.Tradisionalis lebih gemar kain di semenanjung negeri timur Malaysia dimana budaya batik dan kraftangan kain yang lain masih lagi dikukuhkan.Baju Kurung juga boleh digandingkan dengan kain tradisional seperti songket dan batik disamping hanya mengayakannya dengan kain yang berlipat tepi dan kain sarung.Baju Kurung juga turut dipakai bersama dengan tudung dan selendang serta assesori yang lain sebagai sampingannya.

Pada era serba moden ini, terdapat pelbagai variasi Baju Kurung yang lebih kontemporari telah diketengahkan namun keasliaannya masih dikekal.Antaranya ialah baju kurung moden.Baju Kurung merupakan salah satu pakaian yang mula mendapat tempat dimata dunia kerana keunikan dan keasliaan busana itu sendiri.Ciri-ciri keunikan dan keistimewaannya yang tersendiri telah menarik minat pelbagai pihak untuk menggayakannya dan membawanya ke persada dunia.Oleh itu, kita harus menjaga dan memelihara keasliannya agar pakaian ini tidak lapuk ditelan zaman.Akhirulkalam, marilah kita bersama-sama memartabat pakaian tradisional kita supaya pakaian terus mendapat tempat pada generasi akan datang.

Leave a Comment